Hantaran Perkahwinan Menurut Kacamata Islam

Cuti sekolah telah bermula. Seperti kebiasaannya, bila tiba sahaja musim cuti sekolah, maka ramailah yang akan makan ‘nasi minyak’. Bila menyentuh tentang perkahwinan, maka perbincangan tentang hantaran perkahwinan tidak boleh diabaikan.

Prinsip ajaran Islam itu mudah dan sederhana. Wang hantaran bukanlah sesuatu yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan tetapi ianya dibenarkan di dalam Islam sebagai bantuan kewangan untuk majlis perkahwinan dengan syarat selagi tidak melampau. Maksud melampau ialah sehingga membebankan bakal pengantin atau mereka yang berkaitan. Contohnya hingga terpaksa berhutang untuk menyediakan jumlah hantaran tersebut.

Berbeza dengan mas kahwin yang merupakan satu pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya. Malahan isteri dibenarkan menolak permintaan suami pada ‘malam pertama’ sekiranya bayaran mas kahwin masih belum diberikan.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. ( Surah An-Nisaa’ – Ayat 4 ) , Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi .” ( Riwayat Bukhari ) .

Dari hadith di atas nyatalah bahawa mas kahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur’an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Riwayat Abu Daud ) , Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Riwayat Ahmad )

Bahagian Mahar:

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

TREND MELETAKKAN HANTARAN YANG TINGGI

Dalam situasi masyarakat sekarang, telah berlaku satu fenomena yang kontra. Pemberian wajib (mahar) diletakkan dalam jumlah yang terlalu sedikit sedangkan pemberian ‘hantaran’ yang harus diletakkan dalam jumlah yang tinggi. Wang hantaran inilah yang menjadi masalah kepada kaum lelaki sekarang untuk berkahwin. Masyarakat seolah-olah berlumba untuk meletakkan Wang hantaran paling tinggi kepada anak gadis mereka. Sikap sebegini dilarang oleh agama.

Perkahwinan tidak lain adalah perlaksanaan sunnah azali dan perlaksanaan kewajipan robbani. Kerana itu memasukkan hal-hal yang memberatkan dan yang berlebihan ke dalam mas kahwin /belanja kahwin/hantaran perkahwinan atau lainnya, merupakan perbuatan yang menyimpang dari ketentuan agama. Masyarakat kita hari ini semakin hari semakin memberatkan dan menyulitkan perkahwinan dengan meletakkan hantaran perkahwinan yang tinggi. Jika ditakdirkan wanita tersebut mempunyai kelayakan ijazah tinggi, maka lagi tinggilah belanjanya. Bagi keluarga dan mungkin wanita itu sendiri, beranggapan bahawa dengan belanja yang tinggi, masyarakat akan memandangnya dengan nilai ‘value’ yang tinggi.

Apabila sudah ramai muslim yang berfikir dan bertindak sedemikian, mereka seperti “membudayakan” kebiasaan meminta maskahwin yang berlebih-lebihan sebagaimana yang berlaku dalam zaman jahiliyyah. Akibatnya banyak kaum pemuda yang tidak mampu mendirikan rumah tangga, penyakit moral bertambah luas dan akhirnya banyak sekali lelaki dan wanita yang hidup merana disebabkan oleh” krisis perkahwinan”.

Comments

comments

2 thoughts on “Hantaran Perkahwinan Menurut Kacamata Islam”

  1. Mudah2an insyaallah adat blanja hantaran yg tinggi2 ni hingga membebanlan pasangan yg ingin mendirikan umahtangga dpt sama2 kita perbetulkan. Orang ingin melakukan ibadah sepatutnya kita berusaha tuk memudahkan bkn menyusahkan

Post a Comment:

Your email address will not be published. Required fields are marked *