Ciri-Ciri dan Adab-Adab Seorang Ulama

Kali ni post ni ana ambil sekadar untuk koleksi dan bahan bacaan sendiri bagi mematangkan lagi diri.

Sumbernya dari link ini

PENGENALAN

Memandangkan terdapat beberapa ahli iLuvislam yang PM saya bertanyakan tentang ulama, maka saya mengambil kesempatan yang singkat ini untuk menjelaskannya secara ringkas mengenai ciri-ciri ulama. Selain itu juga, beberapa thread di iLuvislam juga turut membincangkan perkara ini dan saya melihat tiada kesudahan yang baik pada thread-thread berikut. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara ini agar semua pihak dapat mengambil manfaatnya. InsyaAllah.

MAKSUD PERKATAAN ULAMA

Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami. Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji. Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.

Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan sempurna. Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah S.A.W. Agama Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis:

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.

(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

CIRI-CIRI RINGKAS ULAMA

Jikalau hendak disenaraikan ciri-ciri ulama satu persatu, sudah tentulah tidak terhitung banyaknya. Jadi saya nyatakan secara ringkasnya sahaja ciri-ciri seorang ulama sepertimana berikut:

– Sentiasa melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

– Mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam berkenaan agama Islam di dalam segenap sudut.

– Beramal dengan segala ilmu yang dimilikinya.

– Berakhlak mulia.

– Tidak gentar untuk menegur dan berkata benar kepada sesiapa sahaja.

– Mempunyai sifat-sifat terpuji seperti: Zuhud, warak, sabar, jujur, ikhlas dan sebagainya lagi.

– Meninggalkan perkara-perkara mazmumah seperti: Riyak, takabur, sombong, angkuh dan sebagainya lagi.

– Sentiasa menyampaikan ilmu pengetahuan dan menyeru manusia kepada Islam.

– Dan banyak lagi.

ADAB-ADAB SEORANG ULAMA ATAU GURU

Seperti yang saya telah sebutkan di atas, jika hendak disenaraikan satu persatu ciri-ciri ulama, sudah tentulah akan mengambil masa yang panjang. Oleh itu, di sini saya nyatakan pula adab-adab bagi seorang ulama atau alim serta guru sepertimana yang telah diperkatakan oleh Imam Ghazali di dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah:

– Mampu menanggung kesusahan.

– Bersabar dengan kesulitan.

– Duduk dengan rasa hormat serta berkelakuan tenang ketika bersama manusia.

– Meninggalkan takbur di atas sekalian hambaNya kecuali terhadap orang yang zalim.

– Mencegah daripada kezaliman.

– Memilih tawaduk pada perhimpunan dan pada majlis orang ramai.

– Meninggalkan gurau-senda dan bermain-main.

– Melayan dengan baik pelajar yang kurang pandai.

– Membimbing pelajar yang angkuh.

– Memperbaiki pelajar yang bodoh dengan tunjuk ajar yang baik.

– Tidak marah kepada pelajar yang bodoh.

– Tidak malu daripada berkata ‘aku tidak tahu’.

– Memberikan perhatian kepada pertanyaan.

– Memahami soalannya.

– Menerima hujjah.

– Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika bersalah.

– Melarang pelajar daripada setiap ilmu merbahaya.

– Melarang pelajar daripada menghendaki dengan ilmu selain dari Allah Taala.

– Melarang pelajar daripada sibuk menuntut ilmu fardhu kifayah sebelum selesai menuntut ilmu fardhu ain. Ilmu fardhu ain ialah berkenaan dengan membaikkan zahir dan batin dengan takwa.

– Memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu dengan takwa, supaya dapat mencontohi amalannya dan mengambil manfaat daripada percakapannya.

CIRI-CIRI ULAMA DUNIA

Berikut saya nyatakan juga ciri-ciri ulama dunia. Saya senaraikan di sini berdasarkan kitab Ulama al-Suq Ulama al-Dunya karangan al-Amin al-Haj Muhammad Ahmad sepertimana berikut:

– Menyembunyikan ilmu dan kebenaran.

– Cintakan dunia dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

– Mengikut hawa nafsu.

– Berkeinginan untuk mendampingi dan mendekati pemerintah.

– Berpura-pura di dalam masyarakat.

– Menjanjikan akhirat dengan dunia mereka dan di dalam kehidupan mereka melebihkan perkara-perkara dunia serta lainnya.

– Mengkaji dan menyelidik dengan kesalahan dan kekurangan.

– Fatwa dengan mengikut syahwat.

– Dengki dan benci serta tidak insaf.

– Berbeza amalannya dan kata-katanya.

– Berdolak-dalih dan berhelah.

– Menjawab sesuatu dengan akal dan mengingkari serta bongkak untuk menerima kebenaran.

PERANAN DAN KEPENTINGAN ULAMA

Semenjak kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang daripada segolongan pihak yang cuba merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama. Mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum seperti Rasulullah S.A.W. Oleh itu, mereka menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada ulama untuk memahami urusan agama Islam ini. Mereka berkata lagi bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus daripada dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan kefahaman sendiri. Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Nahl: Ayat 43).

Oleh itu, saya ingin mengajak para pembaca termasuklah diri saya sendiri bermuhasabah terlebih dahulu sebelum hendak mengatakan sesuatu kepada para ulama. Sila baca dan jawab dengan ikhlas soalan-soalan berikut:

Berapa banyak ayat al-Quran al-Karim yang kita faham dan hafal?

Berapa banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang kita faham dan hafal?

Berapa banyak kitab-kitab dari ulama muktabar yang kita faham dan hafal?

Berapa banyak ilmu agama yang kita dalami dan fahami?

Berapa banyak ulama dan guru yang sentiasa kita lazimi untuk mendalami ilmu agama secara bersanad dan bertalaqi?

Dan pelbagai soalan lagi.

Jadi apakah jawapan kita terhadap soalan-soalan di atas? Mampukah kita duduk sama taraf dengan para ulama? Sedangkan mereka jauh lebih alim dan mengetahui daripada kita berkenaan agama Islam. Mereka memiliki segala ilmu yang cukup bagi membolehkan mereka mengeluarkan hukum-hakam agama untuk keperluan manusia. Mereka jugalah adalah dari kalangan hamba yang amat takutkan Allah Taala.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.

(Surah Faathir: Ayat 28).

PERINGATAN PENTING
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).

Kita mesti mengakui bahawa para ulama bukannya maksum dan mereka tidak boleh lari dari melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Namun jika hendak dibandingkan dengan kita, sudah tentulah mereka lebih layak untuk mengeluarkan hukum-hakam kerana mereka telah memahami ilmu agama dengan mendalam. Oleh itu, kita sebagai masyarakat awam ini, tidak perlulah kita merasa diri terlalu hebat daripada para ulama yang sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah Taala. Hormatilah para ulama dengan sebaiknya. Berakhlaklah kita kepada mereka jikalaupun mereka telah tersalah di dalam mengeluarkan pandangan.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyanyangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami.

(Riwayat Ahmad).

Kadang-kala kerana terlalu ghairah segolongan puak ini melaungkan kata-kata ‘tidak perlukan para ulama’, mungkin mereka terlupa bahawa para ulama ini turut disebutkan di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. Tidakkah tindakan mereka ini sebagai menolak ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. juga? Oleh itu, saya sarankan agar serahkan urusan agama Islam ini kepada para ulama untuk menjelaskannya. Ingatlah peringatan dari Allah Taala ini:

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah Taala sesuatu yang kamu tidak ketahui.

(Surah al-Aaraf: Ayat 33).

PENUTUP
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Ulama itu ada tiga jenis. (Pertama) orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. (Kedua) orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). (Ketiga) orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dari ilmunya.

(Riwayat ad-Dailami).

Saya berharap kita semua dapat menghormati ulama sebagai pewaris para nabi. Beradablah dengan mereka terutamanya ketika kita hendak memberikan pendapat yang berbeza dengan mereka dan bawakan sekali pendapat ulama lain untuk menyokong pendapat kita. Bagi sesiapa yang merasa diri terlalu hebat ataupun malas untuk menuntut ilmu, di sini saya ingin sarankan sebuah kitab bertajuk Safahat Min Sabr al-Ulama karangan Syeikh Abdul Fatah Abu Udah. Setelah membaca kitab kita, saya katakan bahawa betapa lemahnya dan kerdilnya kita berbanding para ulama yang sentiasa dibimbing oleh Allah Taala. Semoga aku boleh menjejak langkah mereka ini! Aminnn.

Sila rujuk link berikut untuk penjelasan tambahan:

http://buluh.iluvislam.com/?p=52

‘Memberi dan Berbakti’

Wallahualam.
Filed under Akhlak / Tasawuf, Ulama / Tokoh having
3 Responses

1. penyokong ulama Says:
November 10th, 2009 at 5:50 pm

Salam..setuju dgn tulisan ustaz..saya ambk artikel ni dari berita harian…

AGAMA Ulama penentu jatuh bangun peradaban manusia
Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Setiap Muslim perlu rujuk orang alim bertauliah elak perpecahan, perdebatan agama

ULAMA adalah pewaris tugas dan peranan nabi dan rasul dalam menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulama penentu kepada maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya sesuatu umat di bumi ini.

Jika ulama berperanan sebagaimana tanggungjawab nabi dan rasul, maka akan baiklah umat itu. Sebaliknya, jika ulama itu tidak berfungsi dan berperanan jelek, nescaya akan buruk dan binasalah umat berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Ulama itu ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) para nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi dan rasul.” (Hadis Ibnu Adiy)

Ulama, seorang yang luas dan mendalam ilmu pengetahuan agamanya dan berupaya menggarapkan dan seterusnya mengembangkan ilmu itu bersesuaian dengan bidang kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu lain sama ada dalam bidang ilmu keagamaan atau keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu menjadi rujukan utama umat manusia zaman berzaman.

Inilah ciri utama seorang ulama yang berwibawa dan berhemah tinggi dalam sebuah masyarakat Islam. Allah berfirman: “Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (Ulul Albab).” (Surah Ali Imran: 7).

Seterusnya, ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara seorang ulama dengan bukan ulama ialah ciri keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Seorang ulama adalah seorang yang cukup mantap imannya dan tebal takwanya kepada Allah, tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah ketika menegakkan kebenaran.

Oleh kerana imannya yang bertapak kukuh dalam sudut jiwa itulah yang mendorongkan ulama itu untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana dia menginsafi bahawa bekalan ilmu saja belum memadai. Maka tidak dapat tidak, amalan kebajikan wajib ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah). Bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (Ulul Albab).” (Al-Baqarah: 197).

Dengan kemuliaan yang dianugerahi Allah kepada seorang ulama, maka dia mempunyai peranan yang cukup besar dalam membimbing dan memimpin hala tuju masyarakat dan negaranya ke arah keredaan Allah. Semakin kreatif seseorang ulama, maka semakin meningkatlah tamadun dan peradaban manusia dalam hidup ini.

Justeru, setiap Muslim hendaklah merujuk terlebih dulu kepada ulama dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi. Jika di Malaysia, ulama merujuk kepada orang alim yang ditauliahkan kerajaan, pihak berwajib agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas keagamaan yang dipertanggungjawabkan seperti penasihat agama, mufti, kadi, imam dan ustaz lepasan institusi pengajian Islam.

Sehubungan itu, orang perseorangan mahupun jemaah tidak sewajarnya cepat melatah atau melenting dalam sesuatu isu yang diperdebatkan, terutama sekali membabitkan persoalan hal ehwal Islam. Apa saja isu yang berbangkit, serahkan saja kepada mereka yang ditauliahkan kerajaan dalam menyatakan persepsi sebenarnya agar dapat dijauhkan segala kekeliruan yang mungkin merenggangkan jalinan persaudaraan sesama Muslim.
2. penyokong ulama Says:
November 10th, 2009 at 5:57 pm

apa pndgn ustaz ttng berita ni…

RENCANA Agama bukan hak eksklusif ulama: Dr Asri
Oleh Hazirah Che Sab

Dr Mohd Asri Zainal Abidin

SEHARI sebelum ditahan Jais, Dr mengeluarkan kenyataan mengenai memorandum PGSM membantah pelantikan Dr sebagai Yang Dipertua Yadim. Dr didakwa ada agenda tersendiri kerana turut mendakwa Perdana Menteri yang mahu membuat pelantikan itu.

Kalau ada agenda, ertinya saya juga mengerah berpuluh-puluh polis dan pegawai Jais menangkap saya. Dakwaan itu cuma teori kerana di luar kemampuan saya berbuat demikian. Siapa saya untuk membuat agenda membabitkan pihak keselamatan dan seumpamanya, tetapi saya melihat dari sudut lain, ada hikmah untuk saya dan untuk Malaysia; mengenai kebebasan bersuara, hak untuk bercakap.

Dr ditahan kerana disyaki mengajar agama tanpa tauliah. Perlukah Jais mengeluarkan tauliah, terutama kepada pengajar berkelayakan mengajar agama?

Tidak perlu kerana pertama, ia sedikit sebanyak menjejaskan hak bersuara, itu asasnya. Kedua, dari segi Islam, Nabi Muhammad mengajar ’sampaikan daripada aku walaupun satu ayat.’ Ertinya rakyat Selangor tidak boleh mempraktikkan hadis ini kecuali ada tauliah. Kalau dengar kuliah agama, hendak cerita kepada kawan di rumah apa yang diajar ustaz tak boleh kerana kena dapatkan tauliah dulu.

Apakah maksud pengajaran agama?

Perkataan agama amat umum. Sekarang pengajaran agama ialah kalau kita lihat pensyarah universiti mengajar agama di Selangor dan negeri lain. Cikgu nasihatkan anak murid dalam kelas supaya jaga solat, itu pun pengajaran agama… kena tauliah? Jemaah tabligh yang pergi dari masjid ke masjid, ada minta tauliah? Kadangkala orang jual ubat di tepi jalan pesan baca Bismillah sebelum makan ubat, ada unsur ajaran agama. Apa dimaksudkan dengan pengajaran agama? Itu yang Jais kena takrifkan.

Mengapa pula (perlu tauliah) seseorang yang ada ijazah pertama, sarjana bahkan PhD (doktor falsafah) dalam pengajian Islam sepatutnya sudah layak. Sebahagian besar yang ada PhD ialah pensyarah universiti, mengajar orang yang akan keluar dapat sijil (ijazah), bahkan untuk PhD dan sarjana, tiba-tiba kena dapatkan tauliah, bukan saja untuk mengajar di masjid dan surau tetapi di seluruh Selangor.

Tanpa merujuk kepada Dr, ada pihak membidas sikap ahli agama yang menganggap kebal dan tidak perlu tauliah. Mereka menyifatkan itu takbur?

Saya tidak kata kerana orang sudah kenal saya, saya tidak perlu tauliah. Saya kata saya dikenali, boleh tengok laman web. Itu maksudnya orang sudah tahu saya, jadi tak payahlah takut ada ajaran lain. Saya bukan manusia yang baru muncul untuk kita selidik, itu maksud saya. Saya kata tak perlu (tauliah untuk orang berkelayakan) kerana saya tak bersetuju dengan dasar ini daripada asasnya lagi. Kalau seseorang tiada latar belakang agama, mungkin patut (tauliah). Saya katakan ini untuk semua. Pensyarah universiti ada PhD tak payah disuruh ambil tauliah, cukuplah pengiktirafan universiti yang lebih besar. Yang langsung tiada latar belakang agama, boleh disuruh ambil tauliah.

Dr mendakwa ada tangan ghaib di sebalik kes ditahan Jais. Apa maksudnya dan adakah ia juga berkaitan dengan Yadim. Dr juga dapat publisiti percuma?

Ini (kes tangkapan) bukan perkara kecil kerana cara mereka jalankan operasi membabitkan berpuluh-puluh polis dan pegawai Jais, mungkin mereka nak gari saya kalau tidak dengan perundingan. Saya tidak tahu (puncanya). Sudahlah ditangkap begitu, pergi ke balai polis, siasatan tak buat, esoknya seluruh negara tunggu, tiba-tiba kata belum ada siasatan dan tuduhan. Bayangkan kalau belum ada siasatan dan tuduhan, takkan ada operasi sebesar itu.

Mengenai publisiti percuma, saya tak promosi diri, tak berani cakap lebih, tetapi al-Quran ingatkan kita, kadang-kadang orang rancang tak elok tetapi Allah rancang lain dan Allah sebaik-baik perancang. Kadang-kadang ada orang rancang nak aniaya orang, tetapi berlaku sebaliknya. Saya harap Allah tolong saya.

Adakah Dr rasa ini usaha untuk menyekat fahaman Wahabi yang dikaitkan dengan Dr?

Saya rasa mungkin mereka cuba kaitkan saya dengan Wahabi. Cuma saya nak tanya apa itu Wahabi? Saya kata berulang kali dalam pelbagai media, saya bukan manusia ghaib. Penulisan saya dalam akhbar secara mingguan, ada blog, ceramah dalam televisyen dan ada siaran tetap, saya ada laman web YouTube dalam internet. Boleh ambil dan senaraikan (penulisan dan ceramah) yang dianggap menyanggah prinsip ajaran Islam, jangan buat tuduhan.

Wahabi bukan saja dituduh kepada saya, tetapi juga tokoh pembaharuan sebelum ini. Za’aba pernah dituduh, Prof Hamka juga dituduh dan dalam buku Ayahku, Hamka menceritakan hal ini. Dalam Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, Hamka ceritakan tuduhan seperti ini dan menjawab kes suka menuduh orang Wahabi kerana berbeza beberapa amalan.

Berbicara mengenai Wahabi, Dr didakwa menggalakkan jangan baca qunut serta talkin?

Jika tak mahu baca qunut ketika solat Subuh, adakah dia sesat? Bagaimana orang yang bersembahyang di Masjidil Haram, Masjid Nabi. Bagaimana kawan India Muslim kita yang sembahyang di Masjid India, juga tak baca qunut. Melainkan jika (imam) baca qunut, ada orang lain yang mengikut suruh berhenti, menyebut Subhanallah di belakang, tetapi itu tidak ada, itu (baca qunut) satu hak. Jika nak dijadikan perkara besar, lebih baik besarkan isu mereka yang langsung tak sembahyang Subuh.

Jika saya tengok imam baca qunut, saya akan qunut bersama imam. Jika saya bersolat dalam majoriti makmumnya berqunut, saya berqunut. Saya akui ketika di Perlis tidak ada qunut dalam solat Subuh. Apa yang saya buat menunjukkan keluasan sikap. Adakah Jais nak halang rakyat Selangor sembahyang di Masjidil Haram dan Masjid Nabi?

Talkin pun satu hal. Apa masalah talkin? Macam mana orang yang mati di Madinah dan Makkah yang tak ditalkin. Adakah pernah (di negara kita) orang bertalkin, orang lain pergi ketuk kepala dia, pergi tarik dia, tak ada. Ini satu penyakit kronik sesetengah golongan agama yang pantang ada orang berikan pendapat berbeza, kerakusan membolot bidang kuasa. ‘Saya ustaz, saya tidak boleh dicabar, jangan tanya masalah dalil saya, penghujahan saya, cukuplah tahu saya ustaz, siapa yang banyak bertanya lemahlah imannya’. Begitulah sikapnya, itu tidak betul.

Apakah yang dikatakan itu jadi ikutan kerana ‘fatwa’ dikeluarkan seorang mufti?

Jika saya tak cakap pun, generasi moden sekarang dengan beberapa klik saja mereka boleh masuk internet, boleh baca beribu fatwa, siapa nak halang? Adakah Jais, jabatan agama atau mufti mahu kerajaan buat tapisan internet supaya jangan dibaca melainkan kandungan yang mendapat restu mereka. Dalam dunia teknologi maklumat ini orang boleh menilai, boleh baca, biarlah. Ada orang tidak pandai dalam bidang guaman tetapi kerana banyak membaca di internet, dia pandai. Macam mana kita tiba-tiba nak kata, ‘awak bukan mufti, bukan ustaz… awak tidak akan faham agama, kami saja faham’. Agama tidak eksklusif seperti itu.

Di manakah tempat saya larang orang baca qunut di Selangor? Pada pandangan saya, pendapat lebih kuat ialah Subuh tidak (perlu) qunut, tetapi jika anda ikut imam yang baca qunut, hendaklah qunut. Jika imam tidak qunut, jangan qunut kerana hormati imam. Sebab itu orang kita pergi Makkah kena hormat imam (tidak baca qunut). Ini yang saya kata penyakit kronik, membolot ‘apa saja yang kami buat tak boleh langsung dipertikaikan’.

Apabila mereka (penguat kuasa agama) tahan orang kerana dituduh khalwat padahal suami isteri dan dibawa ke balai polis, bahkan dikurung dalam lokap kerana tak bawa surat nikah, esoknya dibawa surat nikah dan ditunjukkan, mereka dibebaskan begitu saja. Tidak pula minta maaf, sebabnya ’saya ustaz, saya tak boleh minta maaf, awak kena hormat saya.’

Mengenai PGSM mendakwa Dr memperbesarkan cerita memorandum itu kerana apa yang berlaku cuma kesilapan teknikal?

Apakah kesilapan teknikal jika letak dalam laman web tuduh saya cerca Imam Nawawi, cerca sembahyang hajat menyebabkan kegelisahan seluruh negara. Saya tak tahu sejauh mana saya sebabkan kegelisahan itu kerana apabila ke seluruh negara, Alhamdulillah! Kalau tidak ribuan, ratusan rakyat sambut saya. Jadi, saya tidak tahu kegelisahan apa? Ini semua tuduhan besar dan bukan petisyen yang disimpan di bawah bantal, ia dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Kemudian (PGSM) kata ini benda kecil, inikah mentaliti peguam syarie? Saya tahu bukan semua peguam syarie begitu, ramai juga telefon saya menyatakan bantahan terhadap tindakan kurang bertamadun itu.

Dalam hal membabitkan Dr, adakah kerana pertembungan ulama tradisional dan muda?

Saya menyatakan supaya golongan muda menghormati ulama, tetapi pada masa sama jangan gugurkan hak anda untuk bertanya, minta penjelasan, ulasan dan penghujahan. Ulama juga perlu ada perasaan kasih sayang kepada orang awam, jangan jadikan agama hak mutlak sehingga mereka tidak boleh dipersoal dan ditanya alasan atas apa yang mereka kata dan buat. Agama berdasarkan al-Quran dan sunnah, bukan berdasarkan apa orang kata.

Kalau ulama Pas kata lain, ulama Umno kata lain, ulama PKR kata lain, kita nak pakai yang mana, ulama Perlis kata lain, Perak kata lain.

Walaupun kadang-kadang mereka kata semua sama tetapi banyak benda juga mereka berbeza pandangan. Bukan semua tradisionalis setuju dengan fatwa Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) mengenai kes wanita melacur umpamanya.

Apakah pertembungan ulama muda yang lebih terbuka pemikirannya dengan ulama tradisional boleh memecah-belahkan umat Islam?

Kena takrifkan apa maksud memecah-belah? Pernahkah orang muda pergi tumbuk ulama, adakah ulama muda kacau orang baca kitab? Tidak ada. Pertembungan dalam politik lebih serius dan ramai ulama tradisional ada dalam politik.

Saya tidak nampak ada pertembungan. Ia istilah yang selalu dikeluarkan apabila ada orang berbeza pandangan dengan mereka kerana menganggap mereka di pihak atas. Begitu juga dengan tindakan sebahagian pemimpin kerajaan apabila rakyat berbeza pendapat, dikatakan rakyat menderhaka, sedangkan pandangan mereka sebenarnya minoriti, pandangan rakyat adalah majoriti.

Dalam kes saya, saya rasa mereka tidak boleh berkata pandangan pembaharuan ini mewakili minoriti kerana ia kelihatan kalau tidak majoriti pun, suaranya agak sama kuat. Majoriti senyap belum tentu menyokong ulama tradisional, mereka juga mahu perubahan dan mungkin mereka tak bercakap sebelum ini.

Saya rasa ramai wanita sokong apabila saya kata tak boleh tangguhkan kes cerai di mahkamah sehingga bertahun-tahun, ia menzalimi mereka. Kakitangan pejabat agama kena hormat apabila pergi sana (mahkamah), tak boleh berkasar walaupun (wanita dalam kes cerai) tak pakai tudung, hormati dia, hormati hak dia menuntut keadilan, jangan lihat pemakaiannya.
3. admin Says:
November 11th, 2009 at 3:03 pm

Assalamualaikum Warahmatullah.

Terima kasih kepada sudi mengunjungi blog saya yang tidak seberapa ini. Memandangkan saudara/ri inginkan pendapat dari saya sendiri mengenai temuramah ini maka saya gagahi juga menulis sedikit pandangan peribadi saya mengenai perkara ini. Walaupun sebenarnya saya kurang berminat untuk membahaskan tentang peribadi seseorang itu tanpa keperluan.

Saya sama sekali tidak pernah mendakwa bahawa agama Islam adalah hak mutlak para ulama sahaja. Jauh sekali untuk saya mengatakan seperti itu. Namun apa yang saya selalu tekankan di sini adalah para ulama sahajalah yang lebih memahami agama Islam ini jika hendak dibandingkan dengan masyarakat awam. Bagaimanakah jika urusan agama ini dibahaskan oleh seseorang yang jahil? Bukankah akan merosakkan kesucian agama Islam itu sendiri? Saya kira tulisan saya di atas dan link yang saya berikan itu sudah menjawab persoalan ini. Persoalan lagi: Adakah kita merasa diri terlebih hebat daripada para ulama sekadar memiliki PhD di bidang agama?

Sedangkan kita juga mengetahui bahawa tiada seorang ulama muktabar pada zaman silam yang memiliki PhD akan tetapi ilmu mereka memenuhi timur dan barat. Maka gelaran paling layak bagi para ulama ini adalah imam atau al-allamah dan sebagainya lagi. Jom bermuhasabah diri terlebih dahulu dengan persoalan-persoalan yang saya kemukakan di dalam artikel saya di atas. Layakkah kita bergelar ulama dengan hanya memiliki sekeping PhD?

Berkenaan dengan isu tauliah, saya mencadangkan agar Dr. Asri melihat terlebih dahulu undang-undang agama negeri Perlis semasa beliau menjadi mufti dahulu sebelum beliau mengeluarkan sebarang pandangannya. Adakah undang-undang tauliah ini turut digunapakai di Perlis pada ketika itu? Jika undang-undang itu digunapakai, kenapakah beliau tidak menghapuskan undang-undang itu dahulu semasa beliau menjadi mufti? Bukankah ini tidak adil namanya di dalam memperkatakan berkenaan sesuatu perkara?

Saya melihat Dr.Asri cuba mengatakan bahawa ajaran yang dibawa olehnya adalah betul semuanya dan sesiapa yang menentangnya adalah menentang agama (walaupun beliau tidak mengatakan secara jelas). Namun persoalan yang perlu kita fikirkan sejenak, kenapakah terlalu ramai golongan agamawan menentang beliau? Jika penyampaiannya betul semuanya, pada pandangan kita, adakah golongan agamawan ini turut menentang beliau? Adakah semua golongan agamawan yang menentang beliau adalah jumud? Bukankah ini sesuatu yang pelik untuk mendakwa dirinya adalah benar semuanya? Bahkan golongan agamawan yang menentang beliau terdiri daripada alim ulama tempatan yang begitu memahami agama Islam ini berbanding beliau. Bukankah para ulama tidak akan berhimpun di atas kesesatan dan kebatilan?

Berkenaan dengan Wahabi ini, saya kira semua orang telah mengetahui apakah fahaman Wahabi ini dan tidak perlulah dipanjangkan pertanyaan lagi untuk mengalihkan perhatian masyarakat. Dunia sekarang tanpa sempadan. Search sahaja di internet ini semuanya telah dijelaskan. Namun saya berpandangan Dr. Asri amat jarang menjawab segala bukti yang telah diletakkan di blog-blog atau di website-website. Bahkan beliau lebih gemar mengambil kesempatan melalui saluran media untuk memperbesarkan sesuatu isu serta mempengaruhi pemikiran orang lain dengan fahaman Wahabi yang dibawanya. Saya juga telah menulis mengenai ciri-ciri ringkas bagi fahaman Wahabi ini di sini:
http://buluh.iluvislam.com/?p=41

Saya amat pelik di dengan golongan profesioanal termasuklah beberapa menteri yang kurang basic agama yang begitu menyokong Dr. Asri ini. Pada saya, jika seseorang itu telah membuat kesilapan di dalam urusan agama, sudah pastilah golongan agamawan sahaja yang mengetahui akan kesilapannya itu. Akan tetapi, jika dilihat sekarang ini, golongan bukan agamawan pula yang berlagak menunjukkan kebijaksaan mereka di dalam perihal perbahasan manhaj ini. Bukankah mereka juga akan marah jika kami (golongan agamawan) memberikan komentar terhadap bidang mereka? Lagi-lagi jika komentar itu bersalahan dengan disiplin ilmu yang mereka pelajari. Sebagai contoh, bukankah hanya akauntan sahaja boleh mengetahui kesilapan dan penyelewengan dari akauntan lain bukan?

Perihal fahaman Wahabi ini telah dijelaskan oleh para ulama muktabar sejak sekian lama lagi. Persoalannya, hendakkah kita menerima segala penerangan dan penjelasan para ulama mengenai Wahabi ini? Bukankah para ulama lebih memahaminya? Tidak ilmiahkah penjelasan para ulama? Masing-masing kita sendiri boleh menjawab di dalam hati. Selain itu juga, saya melihat Dr. Asri begitu pandai bermuka-muka ketika bersama media. Jika kita perhatikan, lain katanya ketika menyampaikan kuliah-kuliah, lain pula ketika bersama media. Pada saya, fahaman Wahabi ini bukan setakat isu qunut atau talkin sahaja, bahkan lebih dari itu. Sila rujuk link yang telah saya berikan di atas mengenai ciri-ciri ringkas fahaman Wahabi.

Betul ke Dr. Asri tidak pernah merendah-rendahkan ulama? Jangan pandai suruh orang lain klik internet untuk mencari hujjah menyokong diri sahaja, orang lain juga boleh mencari kata-kata dan tulisan-tulisan anda yang merendah-rendakkan ulama. Bagaimana tulisan anda terhadap Imam Ghazali? Bagaimana ceramah anda tentang Imam pengasas berzanji? Dan lain-lain lagi? Saya berharap Dr. Asri menyemak semula diri sebelum mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa.

Pada saya, pertembungan fikiran di antara ulama sentiasa berlaku di mana-mana sahaja termasuklah di Malaysia dan ini sudah tentulah membawa kebaikkan kepada umat Islam. Tetapi kelihatan pertembungan di antara Dr. Asri dan para alim ulama lain telah mengeruhkan lagi keadaan dan bukan menambahkan kebaikkan. Walaupun ada kebaikkanya, namun apa yang lebih banyak terserlah adalah kerosakkan pemikiran dan kesatuan masyarakat.

Pohon maaf kerana pada waktu ini saya masih tidak berminat untuk menyentuh perihal isu-isu seperti khalwat, prosedur nikah cerai ataupun berkaitan dengan memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Walaubagaimanapun, saya tetap bersetuju dengan beberapa pandangan serta ketegasan beliau di dalam beberapa isu semasa tanahair. Saya bukanlah menolak semua pendapat beliau secara pukul rata tanpa mengkaji dan meneliti terlebih dahulu. Sekiranya saya berbuat demikian, saya juga turut tergolong di dalam golongan yang tidak adil meletakkan sesuatu perkara bukan pada tempatnya. Namun jikalau pandangannya yang perlu diperbetulkan maka saya tetap akan perkatakan walaupun tidak sedap didengari oleh masyarakat.

Dr. Asri juga perlu bermuhasabah diri kembali. Bukan sekadar hanya pandai menyuruh orang lain bermuhasabah sahaja. Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri.

Sila rujuk sini

:

Comments

comments

Post a Comment:

Your email address will not be published. Required fields are marked *