HAKIKAT DOSA DAN PAHALA

الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد
HAKIKAT DOSA DAN PAHALA

Islam meletakkan setiap orang yang beramal dengan kebaikan akan diberikan ganjaran yang setimpal dan sesiapa yang beramal dengan amal kejahatan juga akan dibalas dengan balasan yang setipal berdasarkan firman Allah Taala yang berbunyi:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

MaksudnyaL“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya kan dilihatnya(dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya(dalam surat amalnya)” Surah Az Zalzalah :7-8

Tidak ada pengecualian dalam amalan kebajikan dan kejahatan menurut Islam antara hamba-hambaNya, lelaki atau wanita, ibu bapa melainkan para Nabi dan Rasul yang ma’sum daripada melakukan sebarang kesilapan.

Di dalam kitab Fathu al Bari karangan Ibnu Hajar Al ‘Asqalani syarahan kepada Sahih al Bukhari ada menyebutkan seorang sahabat bertanya kepada Nabi tentang apakah dosa yang paling besar. Maka Nabi menjawab: Seseorang yang mensyirikkan Allah dengan makhluk lain sedangkan Allah yang menciptakannya dan seorang lelaki yang membunuh anaknya kerana tidak mahu berkongsi makanan dengan anaknya itu kerana kemiskinan.

Hadis di atas menjelaskan bahawa ibu bapa tidak terlepas daripada dosa sekiranya tidak melaksanakan tanggungjawab kepada anaknya. Bahkan Nabi menyebutkan itulah dosa yang paling besar selepas mensyirikkan Allah dengan makhluk.

KEDUDUKAN IBU BAPA DALAM ISLAM

Namun Islam memberikan kedudukan yang istimewa kepada ibu bapa untuk ditaati perintah mereka dan menderhaka mereka merupakan satu kesalahan. Firman Allah Taala di dalam surah al-Ankabut ayat 8:

وَوَصَّيْنَا الإنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْنًا وَإِنْ جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلا تُطِعْهُمَا إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan daku (dalam ibadatmu) Dengan sesuatu Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah Engkau taat kepada mereka. kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

Sabda Nabi:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ عَاقٍ وَلاَ مُكَذِّبٌ بِالْقَدْرِ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang menderhaka )ibu bapa( dan orang yang mendustakan qadar(ketentuan Allah)”. Hadis riwayat Imam Ahmad dalam kitab Musnadnya.

Sehinggakan Islam meletakkan mereka wajib ditaati dalam semua keadaan melainkan sekiranya mereka menyuruh melakukan perkara maksiat dan haram menurut Islam.

Firman Allah Taala:

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku(dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka” Surah al Ankabut : 8

Dapat difahami daripada ayat di atas, sekiranya anak-anak tidak boleh mengikut sesuatu arahan yang tidak diketahui benar atau salah perbuatan itu, maka lebih utama supaya tidak mengikut sesuatu yang diketahui dan pasti kesalahan dan kebatilan sesuatu perbuatan tersebut.

Sebuah hadis sahih riwayat Ahmad dan Al-Hakim daripada Imran dan Al Hakam bin ‘Amru Al Ghifari yang berbunyi:

لاَ طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Al Khaliq(Allah)”.

KESIMPULAN

Ibu bapa merupakan insan yang terlalu banyak jasa kepada anak-anaknya sehingga sanggup membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi untuk anak-anaknya dan sentiasa berangan-angan memberikan kebahagiaan kepada anak-anaknya. Tidak dinafikan ada daripada kalangan ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, tetapi jauh di sudut hati mereka pasti ada perasaan ingin melakukan yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka.

Walaupun ibu bapa tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, ini tidak bererti mereka boleh diperlakukan sesuka hati oleh anak-anak sedangkan Allah telah memberikan hak istimewa kepada mereka. Adakah dengan sedikit kesalahan yang mereka lakukan sanggup memadamkan semua kebaikan mereka mendidik anak-anak sejak kecil sehingga menjadi dewasa?? Insya Allah dengan kesalahan yang sedikit itu mampu dipadamkan dengan kebaikan mereka yang tidak terhitung banyaknya.

Perkara yang paling penting dan perlu disedari oleh semua pihak ialah anak-anak ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kepada ibu bapa dan ibu bapa juga ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan kepada anak-anak. Masing-masing perlu memberikan hak masing-masing demi menjaga keharmonian sesebuah keluarga agar sentiasa dipayungi dengan rahmat Allah Taala.

Allahu a‘lam

Disediakan oleh;
Abdul Hadi Awang
Kuliyah Usuluddin Jabatan Hadis

Disemak;
Muhammad Aidil Azwal Zainudin


Sumber yang ana ambil

Comments

comments

Post a Comment:

Your email address will not be published. Required fields are marked *