Amalan Bulan Sya’aban

Apabila Kita melangkah ke bulan Syaaban. Jadi, apakah amalan yang sepatutnya dilakukan pada bulan Syaaban?

Sesuatu yang sahih daripada nabi pada bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:

“Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.”

Usamah bin Zaid pula menceritakan; “Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban”, lalu Baginda menjawab, “Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas’aei).

Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana ‘datang bulan’, maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala ‘hutang’ dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan.

Sebagai mencontohi sunnah nabi, kita sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban yang mulia ini.

Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain untuk memepertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan sebagainya.

Comments

comments

Leave a Reply

Close Menu