Ego tinggi merosakkan diri

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya” (Riwayat al-Bukhari).

Berasaskan hadis inilah apa yang jelas ialah sikap setiap pemimpin perlu untuk menjaga hak-hak yang dipimpin dengan sempurna. Begitulah jua betapa besarnya tanggungjawab seorang pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya.

Dalam Islam kepimpinan dilihat sebagai satu tanggungjawab, bukan sebagai mengejar kuasa. Ini kerana kepimpinan dalam Islam wujud pada setiap peringkat sesuai dengan keadaan dan situasinya. Sebagai contoh kerajaan bertanggungjawab memimpin rakyatnya, ketua memimpin orang bawahannya, suami memimpin isteri, ibu bapa memimpin anak-anak dan sebagainya.

Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana kita mempunyai seorang tokoh teragung yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan iaitu baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh umat Islam malah disanjungi oleh ramai cendekiawan Barat kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin sebuah negara dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya.

Dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin negara, baginda membuktikan bahawa keputusan berasaskan perbincangan adalah membawa kepada kejayaan. Imam Ibn Kathir juga telah memberi contoh beberapa perbincangan yang telah dilakukan oleh Rasulullah dengan para sahabat baginda dalam menyelesaikan konflik ketika dalam perang Badar, perang Ahzab dan dalam perjanjian Hudaybiah.

Sejarah Rasulullah SAW ini menjelaskan kepada kita bagaimana sistem perbincangan (syura) telah dibentuk dalam kalangan sahabat sehingga dapat membuat keputusan yang boleh dipercayai.

Sekiranya Rasulullah SAW boleh menerima pandangan sahabat-sahabatnya sedangkan baginda adalah merupakan penghulu kepada rasul, nabi dan umat manusia, maka mengapa hari ini ada segelintir pemimpin yang terlalu ego dan sombong untuk sekurang-kurangnya mendengar pandangan orang lain?

Di sini menunjukkan kepada kita bahawa jawatan dan kedudukan yang dipegang, setinggi mana pun ia, tidak boleh menjadikan individu tersebut kebal dengan sebarang teguran dan pandangan. Lebih-lebih lagi kita adalah individu yang tidak maksum. Oleh itu, bersikap terbuka dan dapat menerima pendapat orang lain dilihat satu bentuk amalan yang perlu diteruskan terutama dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Sehubungan itu, sikap keterbukaan perlu ada dalam diri seseorang pemimpin. Ini bermakna apabila pemimpin itu mempunyai sikap keterbukaan maka ia akan bersedia mendengar apa jua pandangan dan buah fikiran daripada sesiapa sahaja sama ada daripada mereka yang lebih muda darinya atau sebaliknya, sama ada daripada kawan-kawannya mahupun lawan, sama ada daripada mereka yang berjawatan tinggi atau jawatan bawahan dan sebagainya.

Seandainya seseorang pemimpin dapat menghayati dan mengamalkan sikap secara positiif dan terbuka serta dapat menerima sesuatu teguran itu dengan berlapang dada, insya-Allah segala permasalahan akan dilalui dan dihadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk, dan tiada lagi sikap menunjuk-nunjuk siapa ego atau siapa kuat terutama dalam membuat keputusan dan sebagainya.

Namun jika kita perhatikan lawan kepada sikap keterbukaana ialah sikap tertutup pemimpin. Apabila sikap tertutup pemimpin ini menguasai diri, dalam keluarga dan masyarakat, maka kita dapat lihat pemimpin tersebut akan mengatakan dia yang lebih mengetahui segala-galanya tanpa mahu mendengar pandangan orang lain.

Akibat daripada sikap ini akan timbul satu perasaan ego dalam diri pemimpin tersebut. Ini bermakna apabila ada sikap tertutup maka dia akan menutup segala pintu perbincangan. Jika ada sekalipun, itu sekadar menegakkan pendiriannya atau lebih sekadar untuk mengesahkan fikirannya. Begitu juga, apabila dilihat penyertaan orang lain dalam perbincangan tidak lebih sekadar mengangguk kepala atau menjadi orang tukang angguk sahaja.

Seandainya sikap ini dimiliki oleh seorang pemimpin ia menjadi seorang pemimpin yang boleh dikategorikan sebagai diktator. Cepat melenting bila ditegur, cepat marah pula apabila diberi pandangan atau hanya memberi senyuman sinis apabila ahli bawahannya menyatakan pandangan.

Jika sikap sebegini ada dalam diri seorang pemimpin atau ketua keluarga misalnya, kita pasti akan melihat hambatan ini untuk terus meniti kejayaan. Sikap sebegini adalah tidak elok diamalkan di dalam organisasi mahupun institusi kekeluargaan.

Sebaik-baiknya seorang pemimpin atau ketua tidak harus mempunyai sifat ego yang melampau dan sombong serta sikap tertutup kepada apa jua sesi perbincangan. Jikalau tidak bersetuju dengan pandangan orang lain, maka adalah lebih baik menggunakan bangkangan yang paling lembut dan berhikmah. Kenapa perlu bertelingkah, bergaduh atau bertengkar sedangkan kita mempunyai pilihan untuk bermesyuarat dalam suasana yang cukup harmoni, aman dan penuh ukhuwah melalui perbincangan dan sebagainya.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan seseorang pemimpin dalam memimpin orang dibawahnya. Kemampuan pemimpin itu dalam mengawal emosi dalam semua situasi dengan tenang dan terkawal menjadikan pemimpin itu sentiasa dihormati dan dipuji sama ada dalam keluarga dan masyarakat.

Ingatlah kepimpinan yang berkesan merupakan tonggak penting untuk menjadi penggerak utama kejayaan sesebuah masyarakat. Bahkan kejayaan inilah bergantung kepada corak komunikasi kepimpinan yang ada dan sanggup menerima teguran membina, mendengar dan menerima pendapat, mudah diajak berbincang serta bersedia berkongsi maklumat.

Jelas apa yang dibincangkan menggambarkan kepada kita sikap keterbukaan ini sememangnya amat digalakkan dalam Islam dan seiring membantu melincinkan lagi perjalanan dan semoga membawa natijah yang baik dalam kemajuan organisasi. Di sinilah wujudnya hubungan yang baik antara manusia dalam memperbaiki komunikasi dalam masyarakat. Rasulullah SAW juga dalam sebuah hadis pernah bersabda “Berbincanglah dengan ahli yang mempunyai kepakaran kemudian ikutlah keputusan mesyuarat tersebut. Keputusan yang dibuat berasaskan mesyuarat adalah keputusan yang boleh dipercayai.”

Comments

comments

Recent Posts

Updated: August 31, 2016 — 5:05 am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

© 2017 Frontier Theme