DENDAM KESUMAT AKAN MENYUKARKAN LALUAN KE SYURGA

DENDAM KESUMAT AKAN MENYUKARKAN LALUAN KE SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Tazkirah ringkas 10 minit surah (al-Hijr [15:45-47]) pagi Ahad (14 Februari 2016) di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B. Ayat yang dibaca dalam solat Subuh menyentuh isu dendam kesumat antara ahli syurga yang dicabut Allah sebelum mereka melangkah ke syurga.

Dendam kesumat, hasad dengki, permusuhan dan kebencian adalah penyakit yang berbahaya. Ia bukannya “koleksi rasa” yang perlu disimpan dalam hati. Walau sedap pada rasa dek kerana “perencah syaitan”, ia seumpama barah yang memakan hati saban hari. Orang beriman juga tidak terkecuali dari terkena jangkitan penyakit ini. Jika tidak masakan orang beriman pun boleh berselisih pendapat dan bermasam muka sesama mereka. Bukti paling terang akan bahaya penyakit ini adalah janji Allah yang akan membuang jauh “rasa ini” dari jiwa ahli syurga. Jika ia baik, sudah pasti Allah tidak akan membuangnya. Firman Allah:

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَعُيُونٍ (45) ادْخُلُوهَا بِسَلامٍ آمِنِينَ (46) وَنزعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَى سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ (47)

Ertinya: Sesungguhnya orang yang bertaqwa adalah ditempatkan dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman”. “DAN KAMI CABUT AKAN APA YANG ADA DIHATI MEREKA DARI PERASAAN HASAD DENGKI (PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN) SEHINGGA JADILAH MEREKA BERSAUDARA (DALAM SUASANA KASIH MESRA), SERTA MEREKA DUDUK SALING MENGHADAP DI ATAS PELAMIN” (al-Hijr[15:45-47]).

Syurga adalah tempat istimewa yang sangat suci. Ia tidak lagi dicemari dengan system perkumuhan fizikal seperti yang biasa berlaku di dunia. Sabda Rasulullah SAW:

لَا يَبُولُونَ وَلَا يَتَغَوَّطُونَ وَلَا يَتْفِلُونَ وَلَا يَمْتَخِطُونَ أَمْشَاطُهُمْ الذَّهَبُ وَرَشْحُهُمْ الْمِسْكُ….. عَلَى صُورَةِ أَبِيهِمْ آدَمَ سِتُّونَ ذِرَاعًا فِي السَّمَاءِ

Ertinya: (Ahli syurga) tidak kencing, tidak buang air besar, tidak meludah, tidak berhingus, sikat mereka dari emas, peluh mereka seharum kasturi….fizikal mereka seperti fizikal ayah mereka Adam setinggi 60 hasta ke langit (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Lalu sangat canggung jika sebuah tempat suci zahir seperti syurga dicemari oleh “penyakit batin yang sungguh busuk” seperti dengki, dendam, benci dan marah. Oleh sebab itu, Allah mencabut segala penyakit hati sesama penghuni syurga agar syurga itu kelak menjadi suci putih sesuci-sucinya. Penyucian hati ahli syurga dari sebarang penyakit hati diulang sebut dalam firman Allah yang lain:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: “DAN KAMI CABUT SEGALA DENDAM DAN HASAD DENGKI (PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN) DARI HATI MEREKA, (DI DALAM SYURGA)” yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu warisi dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan” (al-A’raf[7:43]).

Proses penyucian jiwa ahli syurga berlaku sebelum mereka melangkah masuk ke dalamnya sebagaimana dijelaskan olehRasulullah SAW:

يَخْلُصُ الْمُؤْمِنُونَ مِنْ النَّارِ فَيُحْبَسُونَ عَلَى قَنْطَرَةٍ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ فَيُقَصُّ لِبَعْضِهِمْ مِنْ بَعْضٍ مَظَالِمُ كَانَتْ بَيْنَهُمْ فِي الدُّنْيَا حَتَّى إِذَا هُذِّبُوا وَنُقُّوا أُذِنَ لَهُمْ فِي دُخُولِ الْجَنَّةِ

Ertinya: (Selepas) orang beriman bebas dari neraka (setelah melalui titian sirat yang merentas neraka), mereka ditahan pada jambatan di hujung titian sirat antara syurga dan neraka. Lalu diselesaikan antara sesama mereka segala kezaliman (kesilapan) yang pernah berlaku di dunia dahulu. Setelah segalanya bersih dan suci barulah mereka dibenarkan melangkah masuk ke dalam syurga (Sahih al-Bukhari).

Paling tepat bagi menggambarkan maksud ayat ini adalah kisah perang Jamal. Perang ini berlaku selepas kewafatan Uthman RA. Ia adalah perang yang tercetus antara pihak Aishah, Talhah serta al-Zubayr dengan pihak Ali. Ia berlaku atas banyak factor antaranya salah faham dan hasutan musuh dalam selimut. Dalam perang ini Talhah dan al-Zubayr mati dibunuh oleh pihak Ali. Selepas perang itu anak Talhah iaitu ‘Imran bin Talhah masuk bertemu Ali. Ali kemudiannya berkata:

“Aku sangat berharap agar hubunganku dengan ayahmu (Talhah) seperti apa yang disebut oleh firman Allah ini (al-Hijr[15:47])(Tafsir al-Tabari):

Pelik juga jika mahu difikir, bagaimana segala kebencian boleh bertukar menjadi kasih sayang? Lihat ayat ini:

عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُنْدُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِنْ فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا

Ertinya: Ahli syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang tangan dari perak; “DAN MEREKA DIBERI MINUM OLEH TUHAN MEREKA DENGAN SEJENIS MINUMAN (YANG LAIN) YANG BERSIH SUCI” (al-Insan[76:21]).

Ahli syurga minum dari air yang sangat bersih lagi suci. Tidak mustahil jika diteorikan air suci itu akan mengubah struktur tubuh ahli syurga yang menjadikan tubuh mereka tidak lagi memerlukan system perkumuhan seperti yang wujud di dunia. Lalu mereka tidak lagi kencing atau berak selamanya. Peluh mereka bertukar harum bak kasturi (Tafsir al-Tabari). Dan sangat tidak mustahil, air suci ini juga turut menyucikan jiwa mereka bersih dari segala macam rasa dendam, hasad, marah dan benci.

Selepas ini jika api dendam, marah dan benci terhadap teman kita mulai menyala, segeralah padamkannya dan mohonlah keampunan dari Allah. Jangan sampai “gelojak api itu” menyukarkan laluan kita ke syurga.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/…/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-ji…/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/…/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-…/

Comments

comments

Recent Posts

Updated: February 15, 2017 — 9:55 am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

© 2017 Frontier Theme