BERKENALAN DENGAN TENTERA ALLAH

BERKENALAN DENGAN TENTERA ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ketika angin bertiup sama ada ianya kencang atau halus mulus, jangan ingat ia sekadar hembusan biasa sebaliknya ia adalah antara tentera Allah yang setia patuh pada sebarang arahan Allah. Jika Allah arah ia menghancurkan manusia, maka hancurlah manusia sebagaimana nasib kaum ‘Ad:

وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ (6) سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَى كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ (7)

Ertinya: Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, – Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang (al-Haqah 69:6-7).

Umat Islam juga pernah dibantu tentera angin selepas Rasulullah SAW meminta bantuan Allah dalam perang Ahzab pada tahun kelima Hijri:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا

Ertinya: Wahai orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (bersekutu dalam perang Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (daripada malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan (al-Ahzab 33:9).

Apabila kaum Nuh semakin sombong dengan kekufuran mereka, Allah menggerakkan tentera langit dan buminya dalam bentuk air:

فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ (11) وَفَجَّرْنَا الْأَرْضَ عُيُونًا فَالْتَقَى الْمَاءُ عَلَى أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ (12)
Ertinya: Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan (al-Qamar 54:11-12).

Tentera Allah ini sangat patuh pada Allah! Apabila Tuhan pemilik mereka mahu mereka berhenti, segera mereka berhenti daripada bertindak:

وَقِيلَ يَاأَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَاسَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ وَقِيلَ بُعْدًا لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah daripada curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang yang zalim”. (Hud 11:44).

Benar! Tentera Allah sangat ramai dan banyak. Ia tak mampu dihitung kerana merangkumi langit dan bumi:

وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Ertinya: Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Fath 48:7)

Apa contoh tentera Allah di langit dan bumi? Ayuh kita lihat dan buka mata hati kita:

1) Matahari adalah tentera Allah. Ia pernah berhenti seketika ketika membantu perjuangan seorang nabi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزَا نَبِيٌّ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ …………… فَدَنَا مِنْ الْقَرْيَةِ صَلَاةَ الْعَصْرِ أَوْ قَرِيبًا مِنْ ذَلِكَ فَقَالَ لِلشَّمْسِ إِنَّكِ مَأْمُورَةٌ وَأَنَا مَأْمُورٌ اللَّهُمَّ احْبِسْهَا عَلَيْنَا فَحُبِسَتْ حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ

Ertinya: Seorang nabi berperang ……. Lalu dia mendekati sebuah negeri (Palestin) ketika masuk waktu Asar atau hampir pada waktu itu, dia lalu berkata kepada matahari: Sesungguh kamu disuruh (oleh Allah untuk urusanmu) dan aku pun disuruh (oleh Allah). Ya Allah! Tahanlah untuk kami matahari ini (dari terbenam). Maka matahari ditahan sehingga Allah memberikan kemenangan kepadanya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

2) Bulan pernah terbelah dua sebagai bukti kenabian Rasulullah SAW.

3) Api pernah bertukar sejuk, nyaman dan selamat kepada nabi Ibrahim (al-Anbiya ‘ 21:69).

4) Laut pernah membantu nabi Musa AS dan Bani Isra’il ketika mereka melarikan diri daripada buruan Firaun.

5) Burung daripada berbagai kelompok dan arah pernah (Ababil) merejam batu batan kepada tentera bergajah ketika mereka mahu musnahkan Ka’abah (Al-Fil 105:1-5). Perlu diingat, Ababil bukan nama spesis burung tetapi sifat burung tersebut yang datang daripada segenap penjuru dalam kelompok berbeza).

6) Belalang, kutu, katak, darah pernah menyerang Firaun dan para pengikutnya (al-A’raf 7:133).

7) Para malaikat banyak kali membantu perjuangan Rasulullah SAW dalam perang yang baginda sertai (al-Anfal 8:12, al-Tawbah 9:25-26 dan al-Ahzab 33:9).

8)Rasa mengantuk pernah turun menenangkan umat Islam dalam perang Badar dan Uhud. Hujan penghilang dahaga, pembersih jasad dan rasa mengantuk menjadi tentera penenang umat Islam sebelum perang Badar:

إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنْكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَى قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ

Ertinya: (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan) (al-Anfal 8:11).

Manakala dalam perang Uhud, rasa mengantuk muncul di tengah kegawatan perang:

ثُمَّ أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا يَغْشَى طَائِفَةً مِنْكُمْ وَطَائِفَةٌ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنْفُسُهُمْ يَظُنُّونَ بِاللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ ظَنَّ الْجَاهِلِيَّةِ

Ertinya: Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah turunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan daripada kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang jahiliyah (Ali ‘Imran 3:154).

9) Rasa gerun dan gentar turut menjadi tentera Allah. Dengar sahaja kemaraan tentera Muslimin, musuh terus kecut perut kerana mereka tahu pasukan yang bakal dihadapi adalah pasukan “berani mati yang mengejar syahid.” Kegentaran ini digerakkan oleh Allah Pemilik perasaan takut:

إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلَائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آمَنُوا سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الْأَعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ

Ertinya: (Ingatlah) ketika tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang yang beriman. Aku akan isi hati orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah setiap anggota mereka” (al-Anfal 8:12).

Kesimpulannya, tentera Allah sangat ramai, cuma menurut Imam al-Razi, tentera Allah boleh menjadi “tentera rahmat” dan “tentera azab” kepada manusia. Ketika datang membantu orang beriman ia menjadi pengawal peribadi atau perisai rahmat, manakala ketika datang menerjah musuh Allah ia menjadi pembunuh ganas atau senjata tajam (Tafsir al-Razi ketika mentafsirkan ayat 4-7 surah al-Fath).

Dalam kes nabi Musa AS, laut berundur sebagai rahmat kepada Bani Isra’il tetapi bertukar menjadi pembunuh ganas dan azab kepada Firaun dan tenteranya:

فَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنِ اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْبَحْرَ فَانْفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ (63) وَأَزْلَفْنَا ثَمَّ الْآخَرِينَ (64) وَأَنْجَيْنَا مُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَجْمَعِينَ (65) ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ (66)

Ertinya: Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukulah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu jadilah air setiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya) (al-Syu’ara’ 26:63-66).

Bicara berkaitan tentera Allah sangat penting sebagai suatu peringatan kepada manusia angkuh agar mereka sedar betapa kuasa dan tenaga mereka sangat terbatas. Jika mereka rasa memiliki kehebatan setinggi pokok, mereka wajib tahu bahawa awan dan langit angkasa lebih tinggi. Ini yang selalu diingatkan Allah kepada umat lampau dan KITA SEMUA:

فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Ertinya: Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi tanpa sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat daripada kami?” Dan (mengapa mereka bersikap demikian?) Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (daripada tiada kepada ada) jauh lebih besar kekuatan-Nya daripada mereka? Dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya) (Fussilat 41:15).

Apa yang saya ungkapkan di sini hanyalah sedikit daripada senarai tenetera Allah yang mampu saya telaah daripada al-Quran dan hadith, sedangkan hanya Allah Tahu siapa dan berapa jumlah tentera-Nya:

وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَى لِلْبَشَرِ

Ertinya: Dan tiada yang mengetahui (siapa dan berapa jumlah) tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia (al-Muddaththir 74:31).

Usaha mengenal tentera Allah sangat penting bagi mengenal Tuhan yang berkuasa Multak mengarahkan semua tentera-Nya. Jika satu tentera-Nya pun tak mampu kita dihadapi maka usahlah berangan hendak melawan Allah Pemilik segala kuasa dan tentera. Usahlah melawan Allah atau barisan tenteranya, sebaliknya kita wajib menjadi mendaftar diri menjadi tentera Allah dengan patuh melaksana segala suruhan-Nya dan mencegah segala larangan-Nya. Usahlah bimbang akan insentif dunia dan akhirat bagi para tentera Allah kerana ia memang dijanjikan:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya: Allah janjikan orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan jadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah jadikan orang sebelum mereka: khalifah yang berkuasa; dan Dia akan kuat dan kembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan gantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang yang derhaka (al-Nur 24:55).

Juga Firman-Nya:

قُلْ هَلْ تَرَبَّصُونَ بِنَا إِلَّا إِحْدَى الْحُسْنَيَيْنِ وَنَحْنُ نَتَرَبَّصُ بِكُمْ أَنْ يُصِيبَكُمُ اللَّهُ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ أَوْ بِأَيْدِينَا فَتَرَبَّصُوا إِنَّا مَعَكُمْ مُتَرَبِّصُونَ

Ertinya: Katakanlah: “(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid); dan kami menunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisi-Nya, atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama kamu”(al-Tawbah 9:52).

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *