KUARANTIN COVID 19 – 18-31 MAC 2020 – Persamaan Isyarat Allah dalam Surah al-Mudatthir (عليها تسعة عشر)

KUARANTIN COVID 19 – 18-31 MAC 2020
Persamaan Isyarat Allah dalam Surah al-Mudatthir (عليها تسعة عشر)

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera

MUKADIMAH
Maaf ya ! Artikel ini agak panjang, kerana ia ditulis pada musim “Cuti Panjang” untuk mengisi “Kekosongan” yang panjang. MOHON BACA SAMPAI HABIS kerana ia mengandungi isyarat-isyarat Allah yang sangat hebat”

A- HAKIKAT COVID 19
i- Ia adalah nama tentera Allah yang bertugas, sebagaimana 19 malaikat yang menjaga neraka Saqar. Firman Allah; ﴿سَأُصْلِيهِ سَقَر، وما أدْراك ما سَقَر؟ لا تُبْقِي ولا تَذَر، لَوّاحَة لِلْبَشَرِ، عَلَيْها تِسْعَة عَشَر﴾, al-Mudatthir/26-30, bermaksud; “(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. Apa yang engkau tahu tentang neraka Saqar itu?. Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat)”.

NOTA :-
a- Anggaplah Kuarantin Covide 19 dari 18-31 Mac 2020 ini sebagai isyarat awal dahsyatnya azab Allah bila ia menimpa kita semua. Apa lagi jika kita berada dalam neraka Saqar yang membakar itu. Sekarang kita semua dalam ketakutan dan kepanasan. Itupun hanya di atas dunia.
b- Terimalah kenyataan Covid 19 itu adalah tentera Allah untuk mengajak kita semua kembali kepada Islam dan HIDUP SENTIASA BERSAMA Allah SWT. Kita sudah lama leka dengan musik, fesyen, gaya gajet dan pelbagai bentuk kerseronokan.

ii- Allah sengaja beritahu berita ini untuk menguji sikap manusia bila menerima wahyu Allah dan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Nya. Firman Allah; ﴿وما جَعَلْنا أصْحاب النّار إلاَّ مَلائِكَة، وما جَعَلْنا عِدَّتهمْ إلا فِتْنَة لِلَّذِينَ كَفَرُوا﴾, al-Mudatthir/31, bermaksud; “Dan tidaklah sekali-kali Aku jadikan penjaga nereka itu melainkan dari kalangan malaikat, dan tidaklah sekali-kali Aku jadikan bilangan mereka itu (19 orang) melainkan sebagai ujian untuk menyesatkan orang-orang yang kafir kepada Allah SWT”.

Maksudnya;-
a- Orang kafir dan munafik akan kebingungan bertanya; “Kenapa mesti angka sembilan belas”. Mereka akan kekal dalam “mode” keliru dan terus menentang kebenaran Allah SWT. Firman Allah SWT; ﴿ولِيَقُولَ الَّذِينَ فِي قُلُوبهمْ مَرَض والكافِرُونَ : ” ماذا أرادَ اللَّه بِهَذا مَثَلا؟”﴾, al-Mudatthir/31, bermaksud; “Dan supaya berkatalah orang yang di dalam hati mereka ada penyakit (ragu/syak kepada Rasulullah SAW) dan orang-orang yang kafir; “Allah nak apa sebenarnya dengan dengan angka ini sebagai suatu signifikan?”.

b- Orang Yahudi dan Nasara akan bertambah yakin tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW yang memberitahu berita tersebut kerana ia sama dengan fakta yang ada dalam kitab mereka. Firman Allah; ﴿لِيَسْتَيْقِن الَّذِينَ أُوتُوا الكِتاب ، ويَزْداد الَّذِينَ آمَنُوا إيمانًا﴾, al-Mudatthir/31, bermaksud; “Supaya menjadi bertambah yakin orang-orang Yahudi yang telah diberi kepada mereka kitab dan supaya bertambah iman orang-orang yang beriman dari kalangan ahli kitab (Nasara)”.

c- Golongan beriman selain mereka akan akan hilang keraguan mereka. Firman Allah SWT; ﴿ولا يَرْتاب الَّذِينَ أُوتُوا الكِتاب والمُؤْمِنُونَ﴾, al-Mudatthir/31, bermaksud; “Dan tidak akan ragu lagi golongan-golongan lain yang diberi kitab (beragama) dan juga orang-orang mukmin (pengikut Muhammad SAW)”.

NOTA :-
a- Ada tiga golongan/sikap manusia dalam berdepan isu ini. Marilah kita menjadi golongan ketiga yang yakin dan beramal dengan kebenaran ajaran Allah SWT.
b- Kepada bukan Islam, ayuh kita mengkaji Islam dan mengetahui kebenarannya .. agar akhirnya kita semua menjadi makhluk yang beriman kepada Allah yang telah mencipta Covid 19 itu.

iii- Akhirnya Allah jelaskan hakikat dengan berkata; ﴿كَذَلِكَ يُضِلّ اللَّه مَن يَشاء ويَهْدِي مَن يَشاء وما يَعْلَم جُنُود رَبّك إلا هُوَ وما هِيَ ذِكْرَى لِلْبَشَرِ﴾, al-Mudatthir/31, bermaksud; “Begitulah! Allah akan sesatkan siapa yang Dia mahu dan tunjukkan (hidayah) kepada siapa yang Dia mahu. Dan tidak sekali-kali mengenali (kekuatan dan dokongan) TENTERA TUHAN MU (Wahai Muhammad) melainkan Dia. Dan tidaklah neraka Saqar itu melainkan peringatan kepada semua manusia”.

NOTA :-
a- Covid 19 adalah bukti kebenaran Allah kerana ia adalah makhluk baru yang tidak pernah kita jumpa sebelum ini. Hanya Allah yang mampu menciptanya melalui ilmu yang telah disampaikan kepada makhluknya.
b- Ia adalah peringatan untuk semua manusia dan bukan untuk orang Islam sahaja.

B- SEBAB IA MENYERANG
Surah al-Mudatthir ini menjelaskan kemurkaan Allah ﴿ذَرْنِي وَمَنْ خَلَقْتُ وَحِيدًا﴾ -ayat/11 atas keangkuhan manusia kerana memiliki kekayaan yang melimpah ruah ﴿وَجَعَلْتُ لَهُ مَالا مَمْدُودًا﴾ -ayat/12, anak-anak dan penyokong yang kuat ﴿ وبنين شُهُودًا﴾ -ayat/13 dan kedudukan selesa dan umur yang panjang ﴿وَمَهَّدْتُ لَهُ تَمْهِيدًا﴾ -ayat/14, di mana semua itu telah menjadikan mereka tamak untuk mendapat lebih banyak lagi ﴿ثُمَّ يَطْمَعُ أَنْ أَزِيدَ﴾ -ayat/15 hingga akhirnya mereka menentang ayat-ayat Allah kerana sudah dikaburi oleh nikmat yang ada pada tangan mereka. Hasilnya Allah berkata kepada mereka;-

i- Ayat al-Mudatthir/16-17 menjelaskan manusia dimasukan ke dalam neraka Saqar kerana mentang ayat-ayat Allah SWT. Firman Allah;-
a- ﴿ كَلاَّ! إنّهُ كانَ لآياتِنا عَنِيدًا ﴾ al-Mudatthir/16 : “Jangan sekali-kali (kamu sombong dengan harta dan penyokong kamu)! Sesungguhnya dia (al-Walid bin al-Mughirah, ketua penentang Rasulullah SAW) terhadap ayat-ayat kami sangat angkuh dan membantah”.

NOTA : Cuba perhatikan sudah berapa banyak penghinaan terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW dan al-Quran berlaku dalam negara kita sejak PRU 14 yang lalu. Kita tidak buat apa-apa sehingga Allah bertindak sendiri apabila melihat kita semua tidak sensitive lagi dengan apa yang berlaku.

MAAF! Abu Mishkat : https://www.facebook.com/ali.muda.9235 telah pertikai artikel ini dengan fakta berikut:-

  • “Ustaz tahu ke tak setakat 1 April 2019 kerajaan PH tangkap dan dakwa 7 ornag hina Nabi s,a.w..
  • Ustaz tahu ke tak setakat 12 September 2019 PDRM tangkap lagi 4 orang termasuk seorang Melayu hina agama Hindu?
    Jawaban saya dan Komen lajut beliau sila baca di bawah.

b- ﴿ سَأُرْهِقُهُ صَعُودًا﴾ al-Mudatthir/17 : “Aku akan bebankan dia dengan suatu kesukaran daripada azab atau satu bukti neraka yang dia akan terjun ke dalamnya”.

NOTA : Tidakkah kita berasa perit dan susah dengan apa yang berlaku sekarang. Kita sedang mendaki bukit keperitan sehingga segala urusan kehidupan menjadi terhenti, serba sukar dan penuh ketakutan.

iv- Ayat al-Mudatthir/18-23 pula menjelaskan bentuk gelagat atau kelakuan manusia menentang Allah SWT, Rasulullah SAW dan al-Quran Karim.
a- ﴿ إِنَّهُ فَكَّرَ وَقَدَّرَ﴾ al-Mudatthir/18 : “Dia sentiasa berfikir dalam dirinya dan menyusun apa yang telah difikirkan untuk melahirkan kata-kata/fakta yang boleh membatalkan kenyataan al-Quran”.

NOTA: Tidakkah kita telah dengar laungan-laungan yang mengatakan negara Malsyaia ini bukan negara Islam dan berpegang dengan ajaran Islam itu kolot .. namun kita tidak membantahnya dengan gigih.

b- ﴿ فَقُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ، ثُمَّ قُتِلَ كَيْفَ قَدَّرَ﴾ al-Mudatthir/19-20 : “Namun dia tetap digagalkan (oleh Allah, walau bagaimanapun) dia telah merancang. Kemudian dia telah digagalkan (lagi) walau bagaimanapun di merancang”.

NOTA: Lihatlah bagaimana Allah telah cabut kuasa dan gagalkan segala janji dan perancangan walaupun ia telah disusun sedemikian rupa untuk menyakinkan manusia menyokongnya .. Ternyata akhirnya dia gagal mencapai impiannya. Janganlah kita percaya atau tertipu lagi dengan segala janji manisnya. Ini semua kerana dia telah melakarkan apa yang bukan dalam kemampuannya dan rakan-rakan yang bersamanya.

c- ﴿ ثُمَّ نَظَرَ ثُمَّ عَبَسَ وَبَسَرَ ﴾ al-Mudatthir/21-22 : “Sejurus (kegagalannya) dia kembali merenaung dan berkira-kira. Namun kenudiannya dia menjadi masam muka (sambil mengerut ruang dahi antara dua matanya dan merenung tajam) dan muka menjadi kelat dan keruh (kerana tahu kelemahannya dan bencikan kebenaran) ”.

NOTA: Ini adalah tanda-tanda untuk kita kenal seorang penipu bila dia bercakap. Semua ciri bahasa badan tersebut adalah refleksi benar yang menjelaskan kedudukan sebenar si penutur. Amatilah dan hayatilah bahasa badan ini ketika kita mendengar atau sedang bercakap dengan seseorang. Ramai tokoh yang berwatak begini. Orang ini sangat bahaya kerana dia tahu kebenaran tapi dia tetap membelakanginya kerana kepentingan diri.

d- ﴿ ثُمَّ أَدْبَرَ وَاسْتَكْبَرَ ﴾ al-Mudatthir/23 : “Namun akhirnya dia membelakangi kebenaran dan terus berlagak sombong daripada menuruti kehendak al-Quran”.

NOTA: Perangai ini sangat jelas apabila dia mentafsirkan al-Quran mengikut selera ideologi yang dia kehendaki. Islam cuba diletak setaraf dengan agama yang lain. Tauhid dipisahkan daripada syariah dan hukum-hakam hanya sekadar peraturan undang-undang mahkmah. Tiada keberanian untuk mengatakan hanya Islam agama yang benar dan agama lain adalah tidak benar. Inilah penyakit kita semua sehingga mengundang bala Allah yang berlaku sekarang. Allah akan bercakap sendiri dalam bahasa Nya, apabila kita tidak lagi berani bersuara menyampaikan kebenaran dalam bahasa kita.

v- Ayat al-Mudatthir/24-25 pula menjelaskan bentuk penghinaan manusia kepada Rasulullah SAW dan al-Quran Karim;-
a- ﴿ فَقَالَ إِنْ هَذَا إِلا سِحْرٌ يُؤْثَرُ﴾ al-Mudatthir/24- : “Lantas dia berkata; “Tidak al-Quran ini melainkan sihir yang terbaik”.

NOTA: Perkataan “sihir” dalam ayat tersebut merujuk kepada sesuatu yang karut dan diada-adakan. Dalam bahasa hari ini ramai orang yang tidak belajar al-Quran dan mendalami ilmu-ilmu agama dan tafsirnya menggantikannya dengan istilah; “Ini tidak ada dalam al-Quran”, walhal dia tidak faham pun kaedah “mantuq” dan “mafhum” dalam memahami maksud al-Quran. Lebih malang lagi, dia tidak pernah belajarpun bahasa Arab dan seninya sebagai alat untuk mentafsir al-Quran al-Karim.

b- ﴿ إِنْ هَذَا إِلا قَوْلُ الْبَشَرِ ﴾ al-Mudatthir/25 : “ Tidaklah ini melainkan kata-kata manusia sahaja”.

NOTA: Akhirnya orang ini akan menuduh hukum-hukum dan petunjuk-petunjuk al-Quran yang telah dikeluarkan oleh para ulamak itu sebagai pandangan peribadi manusia dan kedudukan ulamak muktabar itu sendiripun mula dipertikaikan. Hanya dia yang tahu segala.

C- KUARANTIN COVID 19 – 18-31 MAC 2020
i- Apabila perintah KAWALAN PERGERAKAN dikuatkuasakan, ia adalah satu isyarat untuk kita ambil langkah berjaga-jaga dan melakukan apa yang sepatutnya, kerana ia adalah hari-hari sukar yang perlu kita lalui. Namun bersabarlah kerana kesukaran hari kiamat lebih dahsyat. Firman Allah SWT; ﴿ فَإذا نُقِرَ فِي النّاقُور فَذَلِكَ يَوْمئِذٍ يَوْم عَسِير﴾, al-Mudatthir/8-9, bermaksud; “Maka apabila sangka kala ditiup pada lubang tanduknya, maka itu, pada hari itu, adalah satu hari yang sukar”.
ii- Orang yang kufur dan menentang perintah Allah sangat merasai keperitannya, kerana tiada kekuatan iman dalam diri. Begitu juga dengan situasi Covid 19 ini. Orang mukimin akan akur itu adalah ketentuan Allah dan akan patuh kepada langkah-langkah pencegahan yang ditetapkan oleh pemerintah. Firman Allah SWT; ﴿ عَلى الكافِرِينَ غَيْر يَسِير﴾, al-Mudatthir/8-9, bermaksud; “Ke atas orang-orang kafir, ia bukanlah sesuatu yang mudah”.

D- TINDAKAN KITA
Ada TUJUH PESANAN Allah di awal surah ini yang perlu kita lakukan, apabila berdepan dengan keadaan wabak seperti Covid 19 ini;-

i- Faham Situasi – Kita sekarang berada dalam situasi TERKEPUNG dalam semua urusan kehidupan. Keadaan ini ada persamaan dengan keadaan Rasulullah SAW yang berselimut menahan diri daripada keluar rumah, apabila diserang dengan pelbagai tuduhan berat (menurut salah satu riwayat) setelah memberitahu kepada penduduk Makkah bahawa baginda adalah Rasul Allah SWT. Firman Allah: ﴿يا أيّها المُدَّثِّر﴾, al-Mudatthir/1, bermakusd; “Wahai orang yang berselimut”.

ii- Bangkit dan Nyatakan Kebenaran. Kita mesti jelaskan dan benteraskan segala bentuk kemungkaran yang telah kita lakukan, kerana ia adalah punca segala bala yang menimpa. Firman Allah; ﴿قُمْ فَأَنْذِرْ﴾, al-Mudatthir/2, bermaksud; “Bangunlah (dari selimut itu) .. Maka berilah peringatan”.

iii- Daulatkan Ketuanan Allah. Kita mesti letakkan Allah sebagai penguasa, pentadbir, pendidik dan pengurus dalam semua urusan kita. Segala peraturan Nya mesti diletak pada kedudukan yang tertinggi dalam kehidupan kita. Apa-apa keputusan dan tindakan yang dibuat hendaklah menyebelahi kemahuan Allah dan menguntungkan Islam. Firman Allah; ﴿ورَبّك فَكَبِّرْ﴾, al-Mudatthir/3, bermksud; “Dan hanya Tuan mu (Tuhan Allah) maka engkau agungkanlah”.

iv- Jagalah Kebersihan. Kita mesti bersihkan zahir dan batin diri kita, serta segala apa yang ada kaitan dengan kita. Pakaian dan segala alat kegunaan harian kita mesti bersih dan halal. Niat, fikiran, iktikad, prinsip, kata-kata, tindakan dan segalanya mestilah menepati akhlak Islam. Rumah dan persekirana serta pengudaraan juga mesti bersih. Patuhi arahan pihak berkuasa. Firman Allah SWT; ﴿وثِيابك فَطَهِّرْ﴾, al-Mudatthir/4, bermaksud; “Dan pakaian mu maka hendaklah negkau bersihkan”.

v- Jauhi perkara keji dan kotor. Ia merangkumi unsur keji fizikal, seperti memakan benda-benda yang kotor dan apa-apa yang tidak halal, zina, arak, aktiviti LGBT dan spiritual, seperti menyembah berhala dan menganut aliran pemikiran atau budaya sesat, kerana syaitan akan mengguna semua itu sebagai laluan membawa manusia ke arah kemusnahan. Firman Allah; ﴿والرُّجْز فاهْجُرْ﴾, al-Mudatthir/5, bermaksud; “Dan perkara keji itu, maka tinggalkanlah”.

vi- Jangan mengungkit dan berbangga. Kita dilarang menyakitkan hati manusia lain walupun dengan mengungkit-ungkit atau menyebut-nyebut segala kebaikan yang telah kita berikan kepada mereka. Itu boleh menyebabkan mereka mendoakan kecelakaan kepada kita kerana mereka telah dizalimi. Selain itu, kita juga dilarang daripada berasa bangga dan gah dengan segala sumbangan yang kita beri seolah-olah ia suatu jumlah yang besar, kerana itu bisa merobek hati kita untuk ditembusi bisikan iblis yang licik itu. Firman Allah; ﴿ولا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِر﴾, al-Mudatthir/6, bermaksud; “Dan janganlah engkau meungki-ungkit dan berasa banyak (dengan apa yang disumbangkan)”.

vii- Bersabarlah atas Ketuanan Allah. Kita diminta redha dan bersabar serta menerima apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah. Ia akan membuat kita tenang dan berada dalam keadaan yang stabil berdepan dengan ujian yang sedang kita lalui ini. Ingatlah wabak Covid 19 ini adalah bukti KETUANAN Allah sebagai tuhan sekelian alam. Marilah kita semua beriman kepada Nya. Firman Allah SWT; ﴿ولِرَبِّك فاصْبِرْ﴾, al-Mudatthir/6, bermaksud; “Dan demi/untuk Tuan/Tuhan mu itu, maka bersabarlah”.

PENUTUP
Berdasarkan apa yang telah kita baca, maka;-
i- Marilah kita ubah kehidupan kita kepada konsep baru : KERANA ALLAH, BERSAMA, UNTUK ALLAH. Insya Allah kita akan selamat dan wabak akan hilang.

ii- Jauhkan apa sahaja yang menjarakan kita dari Allah walau dalam apa jua bentuk dan keadaan. Sebaliknya, gunalah semua itu sebagai nikmat Allah untuk menuju Allah dan Hari Akhirat.

iii- Ingat !!! Covid 19 adalah TENTERA ALLAH untuk mengajak kita kembali kepada pencipta.

Sekian, Wassalam wbt.
Yang benar
Dr. Mohd Rosdi bin Ismail
Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan
19 Mac 2020 .

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *