Akhlak dalam Pembacaan al-Quran
Al-Quran merupakan kitab agung dan mulia, yang merupakan kalamullah bersifat kekal dan tidak akan binasa selamanya. Ia adalah mukjizat terbesar yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW, dan menjadi sumber hukum-hakam serta panduan kehidupan manusia. Sebagai kitab suci yang dimuliakan, maka wajar bagi umat Islam untuk membaca dan memperlakukannya dengan penuh adab dan kehormatan.
Dalam proses mempelajari, mengajar, membaca dan menghayati al-Quran, terdapat beberapa adab dan tatacara yang perlu diikuti. Adab-adab ini penting bagi memastikan tilawah memberi kesan positif kepada hati dan jiwa pembaca serta pendengar.
Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
الدين النصيحة، قلنا: لمن؟ قال: لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Nabi menjawab: “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin umat Islam, dan seluruh umat Islam.”
Para ulama menjelaskan bahawa nasihat untuk kitab Allah bermaksud: beriman bahawa al-Quran ialah kalamullah, tiada satu pun daripadanya menyerupai perkataan manusia, dan tidak ada makhluk yang mampu menandinginya. Al-Quran wajib dihormati, dibaca dengan bacaan yang baik, khusyuk, serta diungkapkan hurufnya dengan tepat, dan sebaiknya secara bertarannum.
Antara ulama yang menggariskan adab membaca al-Quran ialah Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din, yang membahagikannya kepada adab zahir dan batin. Imam al-Nawawi pula dalam kitabnya al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran turut menjelaskan perkara ini dalam bab-bab khusus.
Seseorang yang membaca al-Quran seakan-akan bermunajat kepada Allah SWT. Maka wajar baginya menjaga adab berikut:
- Sentiasa berada dalam keadaan suci, zahir dan batin, kerana membaca al-Quran adalah zikir yang paling afdal.
- Membaca di tempat yang bersih dan suci, seperti masjid yang memberi pahala iktikaf.
- Memakai pakaian yang bersih, kemas dan sopan.
- Bersugi dan membersihkan mulut kerana mulut adalah tempat keluarnya bacaan al-Quran.
- Menghadirkan hati seolah-olah berhadapan dengan Allah SWT, walaupun tidak melihat-Nya, Allah pasti melihat kita.
- Menjauhi ketawa dan percakapan kosong semasa membaca al-Quran.
- Tidak bergurau dan bermain-main ketika membaca al-Quran.
- Membaca dalam keadaan tenang dan duduk dengan tertib. Jika berdiri kerana keuzuran, hukumnya harus.
- Memulakan bacaan dengan membaca isti‘azah (A‘uzubillahi min al-shaytan al-rajim).
- Diikuti dengan bacaan basmalah (Bismillahirrahmanirrahim), kecuali pada Surah al-Taubah.
- Mengulangi isti‘azah jika bacaan terhenti atau bersambung di luar al-Quran.
- Membaca dengan tartil dan memelihara hukum tajwid agar ayat-ayat yang dibaca memberi kesan mendalam.
Firman Allah SWT:
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا (Surah al-Muzzammil: 4)
Maksudnya: “Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil.”
Demikianlah adab-adab penting yang perlu dijaga oleh setiap Muslim ketika membaca al-Quran