Falsafah Pengajian Tarannum Al-Quran
Falsafah tarannum berasaskan usaha melagukan bacaan al-Quran secara sistematik dan syarie. Ia merupakan satu pendekatan untuk memperkasakan amalan membaca al-Quran dengan menitikberatkan mutu dan kualiti bacaan, selaras dengan tuntutan syarak. Tujuannya adalah untuk menghubungkan rasa hati pembaca dan pendengar kepada keagungan Allah, Tuhan yang Maha Mencipta.
Pengajian al-Quran amat luas dan mendalam, menjadi tanggungjawab setiap mukallaf untuk mempelajarinya. Al-Quran adalah dustur (perlembagaan) umat Islam yang mendidik manusia untuk mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Ia bukan sekadar mendidik seseorang menjadi warganegara yang baik, pekerja yang cekap, atau individu yang amanah, bahkan lebih daripada itu — ia membimbing insan mengenal Tuhannya, mengenal Penciptanya, mengenal hakikat alam ini serta para rasul dan tentera Allah daripada kalangan malaikat dan manusia.
Membaca al-Quran secara bertarannum adalah satu bentuk penyampaian yang bernilai tinggi. Ia bertujuan menghubungkan emosi dan keinsafan pembaca serta pendengar kepada kebesaran Allah. Namun demikian, bertarannum tanpa memahami falsafah dan prinsipnya bukan sahaja satu penyelewengan, bahkan dianggap sebagai pengkhianatan terhadap kalam Allah.
Al-Quran sewajarnya:
-
Dibaca dengan betul,
-
Difahami dengan mendalam,
-
Ditadabbur dengan hati yang hidup,
-
Diamalkan isi kandungannya dalam kehidupan.
Dalam aspek tarannum, lagu dan suara hanyalah alat penyampai makna. Justeru itu, makna ayat mesti diutamakan berbanding melodi, agar ayat-ayat suci itu sampai ke hati secara lebih mendalam dan memberi kesan yang sebenar. Pembacaan bertarannum mestilah selari dengan kehendak dan maksud ayat.
Kepentingan Belajar Al-Quran
Orang yang mempelajari al-Quran adalah sebaik-baik insan. Hal ini disokong oleh sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Saidina Uthman bin ‘Affan RA:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.”
Menurut Ibnu Kathir, sabda ini menunjukkan sifat mukmin sejati yang mencintai Rasulnya, serta berusaha memperbaiki dirinya dan orang lain.
Adalah suatu kerugian besar bagi mereka yang:
-
Tidak memiliki al-Quran dalam dirinya,
-
Tidak membacanya,
-
Tidak menghafaz walau satu ayat,
-
Tidak mengamalkan ajarannya.
Rasulullah SAW menggambarkan golongan ini dalam sabdanya:
إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ الْقُرْآنِ كَالْبَيْتِ الْخَرِبِ
“Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu pun daripada al-Quran dalam dirinya adalah seperti rumah yang runtuh.”
Kepentingan dan Falsafah Tarannum
Melagukan bacaan al-Quran adalah wasilah mempertingkatkan mutu dan kesan penyampaian bacaan. Antara falsafah dan objektif utama tarannum adalah:
1. Menghormati Status al-Quran sebagai Wahyu yang Agung
Rasulullah SAW bersabda:
“Diturunkan al-Quran itu dengan penuh kebesaran dan kehormatan.”
(Riwayat Muslim)
2. Menambahkan Kekhusyukan dan Keinsafan
Sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam Surah al-Isra’, ayat 109:
وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا
“Mereka segera menundukkan muka sambil menangis, dan al-Quran itu menambahkan kekhusyukan mereka.”
3. Mendapat Rahmat Allah SWT
Firman Allah dalam Surah al-A‘raf, ayat 204:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan apabila al-Quran dibaca, maka dengarlah dengan teliti serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.”
4. Meningkatkan Keindahan Seni Bacaan al-Quran
Sabda Rasulullah SAW:
“Perelokkan bacaan al-Quran itu dengan keelokan suara kamu. Sesungguhnya suara yang merdu mampu menambahkan keindahan bacaan al-Quran.”
Daripada : Ustaz Mohd Sabri